Wednesday, December 17, 2008

Nilai Seorang Isteri


Cubalah bayangkan anda kehilangan isteri buat selama-lamanya...

Bagaimana hendak mengukur besarnya nilai seorang isteri?
Bagaimana pula pengorbanan isteri ini hendak dirasakan oleh suami sebagai pengorbanan?

Besar atau kecilnya nilai sesuatu itu selalunya akan terasa bila ia hilang atau sudah tiada. Misalnya, berharganya nilai kesihatan dalam hidup akan benar-benar dirasai waktu ditimpa sakit. Kerana itu dikatakan bahawa `mahkota' sihat hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit. "Kesihatan adalah ibarat mahkota yang terletak diatas kepala orang yang sihat, tetapi tiada yang dapat melihatnya kecuali orang yang sedang sakit," demikian kata hukamak.

Kalau begitu, nilai pengorbanan isteri akan benar-benar dirasai hanya bila isteri tiada di sisi atau terlantar sakit. Waktu itu suami akan benar-benar terasa kehilangan. Terasa seperti putus sebelah tangan atau pincang sebelah kaki. Sebab itu ramai suami yang cukup bimbang jika isteri sakit.

Siapa hendak hidangkan makanan, siapa hendak sediakan pakaian waktu hendak pergi kerja, siapa hendak uruskan anak-anak, siapa hendak buat itu dan buat ini. Waktu itu suami akan sangat berterima kasih kepada isteri yang selama ini membantu membereskan banyak urusan dan melakukan pelbagai kerja di rumah.

Ditakdirkan isteri meninggal dunia, jasa dan pengorbanannya akan tetap dikenang sampai bila-bila. Isteri yang telah pergi tidak ada galang gantinya. Andainya suami berkahwin lagi sekalipun, kehadiran isteri baru tidak akan sama dengan yang telah pergi. Kerana, masing-masing ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Sebab itu, Rasulullah s.a.w. tetap mengenangkan Siti Khadijah selepas ketiadaannya walaupun baginda telah berkahwin dengan Siti Aisyah yang lebih muda, cantik dan cerdik.

Oleh itu, jika suami hendak menilai besarnya pengorbanan isteri, satu cara ialah dengan membayang-bayangkan andainya isteri tiada di sisi. Atau isteri sakit tidak dapat melakukan sebarang kerja.

Renungkan, kalau selama ini suami mungkin selalu mencari-cari kelemahan dan kesalahan isteri, bagaimana rasanya kalau isteri tiada. Lebih dulu dipanggil menghadap Allah atau terlantar sakit berbulan-bulan lamanya.

Baru terasa bahawa si isteri yang dianggap mempunyai banyak kelemahan atau kekurangan itulah yang menjadikan kehidupan suami lebih terurus. Dalam serba kekurangannya, si isteri itulah yang menjadi penyeri dan pelengkap dalam rumahtangga. Bila dia tiada di sisi, hilang segala seri. Terasa pincang perjalanan rumah tangga.


Waktu itu baru terasa bahawa tidak patut isteri ini dimarah-marah kalau dia buat silap. Sedikit `demerit', kesalahan atau kealpaan yang dibuatnya tidak patut membuatkan suami lupa pada segala susah payah dan pengorbanannya. Dan sepatutnyalah isteri ini sentiasa diberi kalungan penghargaan.

(Koleksi Majalah Anis/ Oleh Rozana Hamim)

2 comments:

LeaQistina said...

wah.. terharunya baca.. patutla ayat dia tersusun semacam n serius je.. skali amik dr majalah anis da.. wahaha..

apa pun.. ada satu lagi yang boleh dilakukan.. tanya pada diri sendiri.. atas alasan apa dulu anda melamar isteri anda untuk dijadikan suri dalam hidup anda.. huhu..

andai mmg anda yg memilih dia maka kenanglah segala punca2 itu.. pasti ada byk kelebihannya yang membuatkan anda melamarnya dan bukannya wanita lain..

p/s: acik... jgn lupa suh pak cik baru baca.. wahaha..

eL said...

erm.. hasil karangan daripada majalah anis.. selamat terhibur..