Wednesday, December 17, 2008

kisah cinta kami

Tahun 2003, segalanya bermula. Perhubungan yang dimulakan dengan sebuah persahabatan.
Ketika itu, aku baru lagi menuntut di Politeknik Dungun Terengganu (sekarang dikenali dengan nama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan dirinya pula juga baru menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Dungun, Terengganu dalam bidang Pengurusan Pejabat & Teknologi.

Pada awalnya, kami hanyalah kenalan. Masih ingat lagi ketika itu, aku memberikannya nombor telefon ku. Niat ku ketika itu hanyalah untuk berkenal-kenal dengan dirinya. Maklumlah waktu itu, aku baru memiliki hanset sendiri. Aku juga baru berjinak-jinak dengan SMS. Abis aku jaja nombor telefon ku itu. Niat ku ingin mengisi masa lapang pada mulanya. Aku tidak bertepuk sebelah tangan apabila dirinya juga memberikan nombor telefonnya kepada diriku. Waktu itu aku memang tidak menyangka sama sekali. Rupanya, timbul juga keinginan dalam dirinya untuk berkenalan dengan diriku.

Kali pertama aku menghubunginya adalah pada malam ulang tahun hari jadinya yang ke-18 tahun. Aku juga tidak menyangka pada mulanya. Aku cuba untuk menghubunginya. Tetapi dia tidak berani untuk mengangkatnya. Alasan yang diberikan dalam SMS adalah suasana bising dalam biliknya yang pada ketika itu semua orang sedang meraikan ulangtahun hari jadinya.

Aku hanya memberikan ucapan Selamat Hari Jadi kepadanya,dengan harapan dia dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezekinya. Mula daripada itu, kami sering berbalas SMS. Namun, dia mahu dirinya dikenali sebagai kenalan dalam SMS sahaja. Aku juga akur dengan kehendaknya. Jadi, aku memang tidak pernah menelefonnya pada tahun 2003 itu.